comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2025: Guru KAFA, imam, bilal antara 70,000 terima sumbangan khas RM500

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menyalurkan sumbangan khas sebanyak RM500 kepada lebih 70,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM35 juta bagi menghargai sumbangan besar mereka.

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM2 bilion bagi hal ehwal Islam tahun depan dengan sebahagiannya adalah untuk memperkasakan institusi pendidikan Islam.

“RM150 juta dikhususkan untuk menyelenggara prasarana pendidikan Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) seperti sekolah pondok, sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat.

“Kerajaan bersetuju menambah kuota guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak 1,500 orang, selari dengan tuntutan pendidikan fardu ain untuk anak-anak.

“Bagi membantu penuntut di Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS), Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) dan Darul Quran JAKIM, kerajaan bersetuju meningkatkan kadar wang saku penuntut sebanyak RM100,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025, di Dewan Rakyat, hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini