KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak menerima peruntukan pembangunan paling tinggi berbanding negeri lain disebabkan terdapat jurang prasarana asas seperti jalan raya, elektrik dan air bersih.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan memperuntukkan RM6.7 bilion kepada Sabah, manakala RM5.9bilion untuk Sarawak.
Beliau berkata Pemberian Khas Sarawak tidak pernah dikaji sejak 1969.
“Di bawah MADANI, tahun ini kita telah menaikkan kadar kepada RM300 juta ketimbang RM16 juta (Sarawak) dan RM125.6 juta (Sabah).
“Mulai 2025, kerajaan bercadang menaikkan kadar Pemberian Khas Sarawak dan Sabah sekali ganda lagi kepada RM600 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI menunaikan kesepakatan pemimpin terdahulu terkait Perjanjian Malaysia 1963.
“Maka tidak harus dipertikai sebab Sabah Sarawak diberi perhatian khusus. Jurang pembangunan antara negeri perlu dirapatkan khususnya melibatkan prasarana asas seperti jalan raya, elektrik dan air bersih,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata kini bukan masanya melaksanakan projek mega sebaliknya pembangunan negara akan menumpukan kepada projek berkepentingan rakyat serta kemudahan yang menyokong kawasan perindustrian mengikut keutamaan negeri.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.