comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2024: Sabah dijangka terima peruntukan besar untuk pembangunan

Ahmad Maslan menunjukkan statistik agihan peruntukan untuk Sabah tahun ini pada sidang media selepas menghadiri dialog Jelajah Belanjawan 2024 di Kota Kinabalu. – FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Sabah dijangka terus menerima agihan peruntukan yang besar untuk pembangunan bagi meneruskan pelbagai projek yang dirancang di negeri ini dalam Belanjawan 2024.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu mengambil kira keperluan negeri ini yang masih memerlukan banyak pembelaan, terutama aspek infrastruktur.

Kata beliau, ketika ini, Sabah menerima agihan pembangunan tertinggi berbanding negeri lain daripada Kerajaan Persekutuan dan ia dijangka kekal pada tahun depan.

“Tahun ini, Sabah menerima agihan peruntukan projek pembangunan terbesar berbanding negeri lain dan kemungkinan dalam belanjawan tahun depan, ia berlaku sekali lagi,” katanya kepada media selepas menghadiri dialog Jelajah Belanjawan 2024 peringkat Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Dialog berkenaan dihadiri kira-kira 400 peserta terdiri daripada wakil pelbagai jabatan dan agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik, swasta serta individu dari seluruh negeri.

Ahmad berkata, dalam belanjawan tahun ini, secara keseluruhan, Sabah menerima RM61.1 bilion membabitkan 1,144 projek yang dilaksanakan semua kementerian Persekutuan di negeri ini, selain RM6.5 bilion peruntukan tahunan untuk pembangunan.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang besar berbanding RM48.1 bilion bagi 1,048 projek selain RM5.1 bilion peruntukan tahunan yang diagihkan dalam Belanjawan 2022.

“Projek pembangunan 2023 untuk Sabah adalah yang tertinggi berbanding negeri lain, tapi kita tahu ia masih tidak cukup kerana negeri ini luas dan kurang prasarana.

“Namun, ia membuktikan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberikan tumpuan yang tinggi kepada Sabah, selepas itu Sarawak,” katanya.

Ahmad berkata, berdasarkan dialog Jelajah Belanjawan 2024 yang dihadirinya hari ini, beliau merumuskan belanjawan tahun depan bakal menumpukan usaha menyelesaikan isu prasarana seperti bekalan air, elektrik, jalan raya dan sambungan Internet.

Selain itu, katanya, isu bangunan sekolah dan balai polis daif juga antara yang akan dilihat berdasarkan penekanan perkara itu yang disuarakan dalam dialog hari ini.

Sementara itu, katanya, Kerajaan Persekutuan masih melihat keperluan setiap negeri dalam pengagihan peruntukan tahunan dan belum berdasarkan tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Dalam pada itu, kata beliau, 799,817 orang di Sabah menerima manfaat Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan pada tahun ini membabitkan RM696.3 juta.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini