comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2024: RM22 bilion peruntukan projek tebatan banjir dilaksana secara tender

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: RMK12 telah meletakkan jumlah peruntukan yang besar bagi membiayai projek tebatan banjir iaitu mencecah RM22 bilion.

Projek berimpak tinggi jangka panjang ini amat mustahak bagi menjamin kemaslahatan rakyat dan membendung lebih banyak kehilangan nyawa dan kerugian harta benda.

Namun menurut Perdana Menteri, pendirian kerajaan tetap tegas dalam soal perolehan, dimana ia hendaklah dilaksanakan secara tender bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat.

“Tahun hadapan, sejumlah 33 Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi akan mula dilaksanakan dengan kos melibatkan RM11.8 bilion.

“Antara projek terlibat termasuklah Rancangan Tebatan Banjir di Lembangan Sungai Pahang, Pahang; Sungai Langat Fasa 2, Selangor; Sungai Jelai, Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Sungai Likas, Kota Kinabalu, Sabah; Kuching Fasa 2, Sarawak;
Baling Fasa 2, Kedah; dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu, Sungai Kelantan Fasa 2, Kelantan.

“Surat Setuju Terima (SST) bagi 24 projek dijangka akan dikeluarkan tahun ini mulai Oktober 2023 melibatkan kos keseluruhan RM5.1 bilion.

“Manakala bakinya akan dikeluarkan SST pada suku tahun pertama 2024.” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sementara itu, bagi mengurang risiko air bertakung dan banjir kilat, RM20 juta disediakan kepada 150 PBT untuk melaksanakan kerjakerja pembaikan parit dan longkang yang rosak.

Bagi mengekang tragedi tanah runtuh seperti yang berlaku di Batang Kali, Selangor lewat tahun lalu, kerajaan menyediakan RM563 juta bagi pembaikan cerun seluruh negara termasuk untuk program pemantauan, pencegahan dan pelaporan serta amaran awal melibatkan lebih 2,000 cerun yang berisiko tinggi.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini