comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2024: RM2.47 bilion untuk perumahan rakyat

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM2.47 bilion bagi melaksanakan projek perumahan rakyat untuk tahun 2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia adalah komitmen kerajaan Madani untuk terus menyediakan kediaman mampu milik kepada golongan B40.

“Sejumlah RM546 juta disediakan bagi meneruskan 36 Program Perumahan Rakyat (PPR) termasuk satu projek baharu di Kluang, Johor. InsyaAllah 15 PPR dijangka siap tahun hadapan untuk manfaat 5,100 bakal penghuni baru.

“Sebanyak 14 Program Rumah Mesra Rakyat bakal menyusul membabitkan 3,500 unit rumah akan dibina membabitkan peruntukan RM358 juta.

“Kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM460 juta menyediakan bantuan kepada kira-kira 65,000 rakyat susah di desa untuk membina baharu atau membaik pulih rumah yang telah daif.

“Tidak lupa juga RM100 juta disediakan bagi menyelenggara perumahan berstrata kos rendah dan sederhana awam dan swasta seluruh negara. Ia dapat digunakan dalam kerja membaiki tangki air, bumbung dan sistem pendawaian serta memasang kamera litar tertutup,” katanya.

Peruntukan RM100 juta juga diberikan bagi menyediakan kemudahan infrastruktur asas dan kemudahan sosial membabitkan penduduk Kampung Baru Cina.

Di bawah Pentadbiran Perpaduan, kerajaan juga mengambil alih pembangunan Bandar Malaysia yang mana memastikan tanah-tanah strategik dimanfaatkan untuk projek rakyat berteraskan nilai Madani.

Termasuklah, merancang projek pembinaan rumah mampu milik untuk golongan veteran dan juga penyediaan taman serta ruang hijau untuk manfaat penduduk sekitar Lembah Klang.

Mengulas lebih lanjut komitmen kerajaan dalam memastikan setiap rakyat memiliki kediaman, kerajaan juga sudah menggerakkan pasukan khas di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menyelesaikan isu projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai.

“Setakat Ogos, 256 projek sakit atau lebih 28,000 unit rumah telah dipulihkan membabitkan Nilai Pembangunan Kasar RM23.37 bilion.

“Dana jaminan khas berjumlah RM1 bilion bagi menggalakkan pemaju berwibawa memulihkan projek yang telah dikenal pasti,” katanya.

Inisiatif juga diberikan dalam bentuk sokongan kewangan yang mana kerajaan bakal menambah Skim Jaminan Kredit Perumahan sehingga RM10 bilion yang bakal memanfaatkan 40,000 bakal pemilik rumah baharu.

Dalam usaha mengawal harga hartanah, kerajaan juga bercadang mengenakan duti setem pada kadar rata 4 peratus ke atas urusan pindah milik harta tanah individu bukan warga negara dan syarikat milik asing kecuali individu pemastautin tetap di Malaysia.

Mulai tahun 2024 juga, kerajaan turut bercadang mengenakan duti setem sebanyak RM10 berbanding kadar ad-valorem sebelum ini bagi urusan pindah milik mengikut Akta Pembahagian 1958 atau benefisiari yang layak berdasarkan faraid atau wasiat.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini