PUTRAJAYA: Kerajaan akan memastikan pemerkasaan ekonomi serta usaha memartabatkan seni dan budaya, berjalan seiring dalam usaha memperkukuh jenama negara ke persada antarabangsa.
Sehubungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mahu Festival Budaya Putrajaya 2023 yang bermatlamat mendekatkan masyarakat umum serta antarabangsa dengan kegiatan seni budaya dan pelancongan Malaysia, dijadikan acara tahunan.
Perdana Menteri berkata, penganjuran festival seumpama itu penting bagi mengangkat dan memperkasakan nilai budaya tempatan, di samping memperkukuh industri pelancongan negara.
“Masyarakat memerlukan kekuatan bukan saja ekonomi tetapi juga pemerkasaan seni dan budaya. Oleh itu, penting untuk MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) menganjurkan program yang boleh mengangkat martabat seni lukis, puisi, filem dan teater serta tarian.
“Pemerkasaan ekonomi dan budaya dalam negara dengan kepelbagaian yang ada ini adalah satu kekuatan. Tidak banyak negara dunia boleh mempamerkan seni budaya, dengan Melayu sebagai terasnya serta suku lain dari Perlis sampai ke Sabah,” katanya ketika berucap melancarkan Festival Budaya Putrajaya 2023 di Dataran Putrajaya, di sini, malam ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, serta Pengerusi Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan memberi jaminan fokus akan diberi dalam Belanjawan 2024 untuk memperkasakan industri pelancongan negara, memandangkan ia adalah sektor penting yang menyumbang kepada pendapatan negara.
“Saya memberi jaminan… pelancongan ini satu bidang ekonomi sangat penting, maka MOTAC harus percaya bahawa ia akan jadi fokus (dalam Belanjawan 2024), selain teknologi dan makanan.
“Dalam belanjawan negara, kita akan memberi pemusatan kepada industri pelancongan serta pemerkasaan seni dan budaya,” katanya.
Festival Budaya Putrajaya 2023 berlangsung sejak Khamis lalu hingga esok dengan mempromosikan pelbagai produk pelancongan di negara ini, khususnya di Putrajaya.
Bertemakan ‘Perpaduan Melalui Seni Budaya’, festival itu turut menyaksikan satu lagi catatan bersejarah dalam Malaysia Book of Records melalui penganjuran Konsert Mega Dikir Barat & Paluan Rebana berskala antarabangsa yang pertama diiringi Orkestra Tradisional.
Lima segmen persembahan dipertontonkan, iaitu Paluan Buka Panggung dan Bertabuh, Persembahan Lagu Jogho, Battle Tukang Karut, Lagu Rampaian serta Dikir Kreasi dengan diiringi oleh 230 pemain rebana dan 200 orang awak-awak.
Antara artis jemputan yang turut memeriahkan konsert mega itu ialah Syamel, Liza Hanim, Bunga Isme, Amsyar Leee dan Nadeera, selain persembahan tarian etnik tradisional pelbagai kaum.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Jemaah Menteri laksana sesi libat urus Belanjawan 2024 pertengahan bulan ini
- MOT cadang dana pembangunan maritim diteruskan dalam Belanjawan 2024
- Belanjawan 2024: Sabah dijangka terima peruntukan besar untuk pembangunan
- MOF lanjut tempoh cadangan Belanjawan 2024 sehingga 22 September
- MOF teliti maklum balas, cadangan berkaitan Belanjawan 2024
- 8,000 pihak berkepentingan, 10,000 maklum balas bakal bentuk Belanjawan 2024
- Belanjawan 2024 mampu jadi asas kebangkitan ekonomi negara
- Belanjawan 2024: KKD cadang geran khas permudah penggunaan 5G bagi PMKS
- Lima sektor perniagaan tumpuan Belanjawan 2024