comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2024: Lapan perkataan sastera diguna PM 

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan sekurang-kurangnya lapan istilah, perkataan yang jarang didengar dan digunakan dalam pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Marcapada dan Arakian antara perkataan yang disebut Perdana Menteri sekali gus menarik perhatian sidang dewan.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Marcapada bermaksud dunia masa kini, manakala Arakian bermaksud maka atau sesudah itu.

Selain itu, beliau turut menggunakan perkataan Taakul yang bermaksud membuat pertimbangan atau penilaian, manakala perkataan Intiha antara perkataan menarik yang disebut Anwar yang membawa maksud penutup atau penghabisan.

Mahsul, Kesenjangan, Sementelahan dan Walhasil juga menjadi perkataan menarik yang jarang digunakan secara formal, namun disebut Perdana Menteri.

Berdasarkan DPB, Mahsul membawa maksud hasil atau pendapatan, Kesenjangan pula bermaksud ketidakseimbangan, manakala Sementelahan bermaksud tambahan pula dan Walhasil bermaksud kesimpulannya.

Anwar turut mengulangi tiga lagi istilah yang pernah digunakan pada belanjawan sebelum ini seperti Ketimbang, Mahakaya dan Kendatipun.

Ketimbang memberi maksud berbanding, manakala Mahakaya bermaksud maha kuasa dan Kendatipun pula bermaksud meskipun menjadi antara satu perkataan unik yang disebut Anwar.

Penggunaan perkataan luar kebiasaan itu sejak sekian lama menjadi identiti Anwar yang juga berkelulusan Sarjana Muda Pengajian Melayu pengkhususan Sastera di Universiti Malaya (UM).

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini