Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2024: Langkah kurangkan defisit fiskal untuk tingkat keyakinan pelabur – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Kementerian Kewangan Putrajaya. – FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan mengurangkan defisit fiskal dan menurunkan kadar hutang negara seperti dibentang dalam Belanjawan 2024 adalah bagi meningkatkan keyakinan pelabur serta memacu pertumbuhan ekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belanjawan tahunan negara itu tidak mampu menyelesaikan masalah yang diwarisi puluhan tahun, namun mampu memberi keselesaan semaksimum mungkin kepada rakyat.

“Kalau kita terus dengan defisit yang ‘membengkak’, orang yang nak melabur dia tak yakin, ini (negara) diurus oleh barisan pimpinan politik atau pengurusan kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

“(Pakar ekonomi) Adam Smith berkata, sebaik-baik mengurus ekonomi negara seperti mengurus ekonomi rumah tangga. Hutang membengkak, anak-anak tak mampu bayar, maknanya gagal pengurusan. Hutang yang mampu ditangani kemudian, itu ada kemunasabahan terutama kalau hutang boleh bawa pertumbuhan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan bersama warga Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Menurut Anwar, mana-mana belanjawan tidak harus dilihat dalam satu ‘vacuum’ tetapi turut melihat latar belakang kekuatan ekonomi, keutuhan, kestabilan politik, keupayaan menyelesaikan hutang dan menyelesaikan beberapa kerangka ekonomi mikro asas.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, melalui Belanjawan 2024, kerajaan dilihat lebih bersungguh mahu mengejar kadar defisit fiskal yang lebih rendah berbanding menyediakan satu belanjawan yang membantu rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Jumaat lalu, Anwar membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ berjumlah RM393.8 bilion, paling tinggi dalam sejarah belanjawan negara.

Beliau turut mengumumkan defisit fiskal tahun depan diunjur berkurang kepada 4.3 peratus berbanding sasaran 5 peratus tahun ini dan 5.6 peratus pada 2022.

Pada masa sama, Anwar meminta jentera kerajaan untuk memberi penerangan kepada rakyat berhubung inti pati Belanjawan 2024 terutama isu pokok mengenai sebab utama kerajaan memberi tumpuan bidang kesihatan dan pendidikan.

“Kita dengar semua pihak, akhirnya kita terpaksa putus. Daripada 1,000 usul kita mungkin terpaksa terima 100. 100 itu tidak puas hati kerana tidak dapat keseluruhan permintaan, yang 900 tak sukar sebab tak dapat dipertimbangkan. Dia lupa bahawa belanjawan ini untuk 2024. Ada lagi Belanjawan 2025, 2026, insya-Allah,” katanya.

Kementerian Pendidikan menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2024 iaitu RM58.7 bilion, manakala Kementerian Kesihatan diperuntukkan RM41.2 bilion.

Mengulas mengenai subsidi, Anwar berkata, langkah kerajaan mensasarkan penyaluran subsidi adalah bagi memastikan ia dinikmati golongan benar-benar layak.

“Subsidi bukan mengenakan cukai kepada mereka (mahakaya) tetapi tarik sedekah (subsidi) ke atas orang kaya macam Tabung Haji (TH) beri subsidi kerajaan kepada semua. Kalau pendapatan RM1 juta tetapi bila daftar dengan TH dapat subsidi dan bagi saya tidak munasabah. Bayarlah dan TH akan bantu permudah urusan.

“Tahun ini kita telah mulakan. Alhamdulillah tiada masalah. Kurang sikit tanggungan TH, maknanya bukan menekan tapi menarik balik subsidi kepada orang kaya. Begitu juga subsidi elektrik,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua khususnya Kementerian Kewangan dan kementerian lain termasuk pihak swasta yang memberikan input dalam Belanjawan 2024.

Loading...
Terkini