comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2024: Kawalan penyeludupan rokok, minuman keras diperketat mulai 1 Januari 2024

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperketat langkah kawalan penyeludupan rokok seludup dan memperluas kepada produk minuman keras bermula 1 Januari 2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, aktiviti pindah kapal (transhipment) bagi produk minuman keras akan dihadkan di pelabuhan tertentu sahaja.

“Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Kayu Hitam akan dijadikan sebagai laluan keluar tunggal bagi wilayah utara.

“Aktiviti import bagi rokok untuk pasaran domestik pula perlu dilakukan secara muatan kontena secara penuh (full container load),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menurutnya, agensi penguatkuasaan akan terus memperhebatkan usaha sama menangani ketirisan hasil.

“Langkah kawalan penyeludupan rokok menyumbang kepada penurunan peratus rokok tidak sah di pasaran tempatan kepada 56.6 peratus pada 2022 ketimbang 63.8 peratus pada 2020.

“Memandangkan bilangan rokok tidah sah masih tinggi di pasaran, kerjasama antara agensi akan dipertingkatkan termasuk memperketatkan kawalan penyeludupan minuman keras,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan menghargai komitmen agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam meningkatkan usaha penguatkuasaan serta operasi membanteras ketirisan hasil negara.

“Ketangkasan tindakan PDRM membanteras jenayah dan ikhtiar SPRM menggeledah pengamal sindiket kewangan dan kartel perlu dihargai.

“Sebagai langkah dorongan, sukacita saya bersetuju bahawa agensi penguat kuasa yang menunjukkan komitmen berterusan dan prestasi cemerlang akan diberikan ganjaran sewajarnya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini