comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2024: Anwar menuju Parlimen untuk bentang Belanjawan 2024

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan kelihatan membimbit beg fail warna hitam bermotif corak ‘Arabesque’ hasil buatan pengusaha batik tempatan berisi teks ucapan Belanjawan 2024

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertolak dari bangunan Perbendaharaan di sini ke Parlimen jam 3.13 petang tadi untuk membentangkan Belanjawan 2024.

Anwar yang juga Menteri Kewangan kelihatan membimbit beg fail warna hitam bermotif corak ‘Arabesque’ hasil buatan pengusaha batik tempatan berisi teks ucapan Belanjawan 2024 bertemakan ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’.

Ahli Parlimen Tambun itu berpakaian baju Melayu lengkap berwarna ungu bersamping serta memakai capal.

Beliau diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, kedua-dua Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Terdahulu, sebelum memulakan perjalanan, Pegawai Hal Ehwal Islam Kementerian Kewangan, Mohamad Zukrillah Ismail mengetuai bacaan doa bagi mendapatkan keberkatan.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus mendapat peruntukan terbesar dalam belanjawan terbabit.

Terdahulu, Perdana Menteri singgah makan tengah hari di medan selera Masjid Mahmoodiah Presint 18 di sini bersama orang ramai, sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Mahmoodiah.

Beliau dijadual membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada jam 4 petang ini yang akan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan dan media sosial.

Menerusi catatan dalam Facebook, Anwar berkata: “Moga inti pati pembentangan ini dapat membimbing ekonomi kita ke tahap lebih baik dalam berdepan tantangan global masa kini selain menyokong agenda pembangunan dan kebajikan negara, insya-Allah”.

Ini adalah belanjawan kedua dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Kali pertama adalah Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu.

Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 yang dibentangkan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari bermula Isnin ini (16 Oktober) sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 30 Oktober.

Berdasarkan Takwim Persidangan Dewan Rakyat, Ahli Parlimen kemudian akan membahaskan RUU itu di peringkat Jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 November.

Loading...
Terkini