comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2024: 1.45 juta pekerja terima manfaat kenaikan siling gaji diinsuranskan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1.45 juta pekerja itu akan menerima peningkatan manfaat terbabit jika ditimpa bencana kerja, keilatan, kematian atau kehilangan pekerja.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, kenaikan siling gaji diinsuranskan kepada RM6,000 daripada RM5,000 yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 kelmarin, dijangka meningkatkan faedah tunai sebanyak 20.2 peratus bagi 1.45 juta pekerja dan orang tanggungan mereka.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peningkatan siling gaji diinsuranskan itu akan berkuat kuasa selepas pindaan ke atas Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) serta Akta Sistem Insurans Pekerjaaan 2017 (Akta 800) dilaksanakan.

“Usaha ini diyakini menjadi pemangkin sinergi keselamatan sosial, selain mewujudkan persekitaran pasaran buruh yang menepati prinsip kesaksamaan dalam kalangan masyarakat,” katanya melalui kenyataan, di sini, semalam.

Melalui Belanjawan 2024 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, peruntukan lebih RM200 juta diberikan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk memperkasa jaringan perlindungan sosial dan memacu pasaran buruh.

Sivakumar juga berkata, peruntukan diberikan itu adalah selari dengan usaha kerajaan Persekutuan ke arah agenda reformasi struktur.

Beliau berkata, tekad kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan keutuhan perlindungan sosial rakyat juga dicerminkan menerusi penambahbaikan dua inisiatif sedia ada yang dilanjutkan, iaitu geran padanan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dengan peruntukan RM100 juta.

“Begitu juga tanggungan kerajaan dinaikkan kepada 90 peratus berbanding 80 peratus sebelum ini serta pembiayaan caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) menerusi peruntukan RM50 juta.

“Dasar pengambilan pekerja Orang Kelainan Upaya (OKU) sebanyak satu peratus akan diperluaskan kepada golongan bekas banduan dan warga emas untuk dilaksanakan pelbagai kementerian, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta rakan strategik kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, pemerkasaan dasar itu akan disokong menerusi peranan pegawai perkhidmatan pekerjaan PERKESO dan platform portal perkhidmatan pekerjaan negara MYFutureJobs yang dilengkapi dengan kebolehan kecerdasan buatan (AI).

Katanya, pelaksanaan rangkaian inisiatif yang terkandung dalam Belanjawan 2024 di bawah KSM menerusi PERKESO ini akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa, demi menjamin aspek keberkesanan, selari hasrat kerajaan Persekutuan memperketatkan aspek tata kelola.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini