KUALA LUMPUR: Bekas wartawan Melodi TV3, Muhammad Zamzuri Zaini atau lebih dikenali sebagai Ayau meninggal dunia pagi tadi.
Menerusi perkongsian di Facebook milik bekas isterinya Alita Aris, Allahyarham Ayau, 50, mengalami serangan jantung ketika berada di Masjid Al Muhajideen, Damansara Utama, sebelum dikejarkan ke Hospital KPJ Damansara.
“Muhamad Zamzuri Zaini (Ayau) sudah kembali ke Rahmatullah lebih kurang 10 pagi tadi. Ayau berada di Masjid Al Mujahideen, Damansara Utama, sedang menunggu jenazah ibu saya untuk disolatkan dan tiba-tiba pengsan, dipercayai mengalami serangan jantung.
“Kami membawanya ke Hospital KPJ Damansara, dan doktor sudah cuba menyelamatkannya selama lebih kurang 20 minit, tetapi gagal.
“Doktor percaya jantung Ayau sudah berhenti ketika di masjid lagi,” ujar Alita.
Jenazah akan dibawa ke Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan untuk disempurnakan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Permai, Ampang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.