KUALA LUMPUR: Bekas vokalis Kumpulan Raihan, Nordin Jaafar, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Ulu Yam Bharu, Batang Kali, Selangor, hari ini.
Difahamkan, arwah, 49, menghidap kencing manis dan sakit buah pinggang yang turut menjejaskan penglihatannya.
Pengurus Kumpulan Inteam Mohd Shahrulhikmi mengesahkan pemergian rakannya, Allahyarham Nordin.
Jenazah disempurnakan di Masjid Al Falah Ulu Yam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Desa Kaloi selepas solat Zohor.
Sementara itu, penyanyi Fitri Haris turut berkongsi berita duka itu dalam laman Instagram.
“Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Almarhum Nordin, moga bersama solihin. Kami pasti menyusul bertemu-Nya,” katanya.
Allahyarham Nordin memulakan karier seninya dengan menganggotai kumpulan nasyid Alarm Me yang popular dengan lagu Bulan-Bulan Islam.
Pada 2006, arwah menyertai Raihan menggantikan vokalis utama Raihan, Nazrey Johani yang tampil dengan album solo.
Pada 2007, arwah keluar daripada Raihan dan muncul sebagai penyanyi solo dengan album Mari Berdoa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.