IPOH: Bekas Orang Besar Jajahan (OBJ) Kinta, Datuk Seri Abdullah Fadzil Che Wan, 78, meninggal dunia di Hospital KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, jam 3 pagi tadi.
Menurut kenyataan Pejabat OBJ Kinta, jenazah akan dimandi dan disolatkan di Masjid Sungai Ramal, Kajang dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Panglima Kinta, jam 2 petang ini.
Allahyarham yang dilahirkan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar merupakan OBJ Kinta antara tahun 2000 hingga 2015.
Terdahulu, Allahyarham yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang dari tahun 1986 hingga 2004, pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar (1987 – 1995) dan Timbalan Menteri Pertahanan (1995 – 1999).
Allahyarham juga pernah menjadi Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari tahun 1993 hingga 2000.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Seri Ezatul Hamsiah Hussein dan tujuh anak.