KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Ibrahim Saad, 78, meninggal dunia pada jam 6.30 petang tadi di Hospital Pakar Damansara di sini akibat komplikasi pernafasan.
Perkara itu dimaklumkan oleh anak lelaki Allahyarham, Datuk Zairil Ayu Ibrahim, 49, ketika dihubungi Bernama malam ini.
Beliau berkata, bapanya mengalami serangan jantung dan menerima rawatan di hospital berkenaan sejak dua minggu lalu.
“Selepas keluar dari hospital baru-baru ini, beliau kelihatan beransur baik namun semalam beliau mengadu sakit sukar bernafas semasa di rumah di Taman Tun Dr Ismail sebelum dibawa ke hospital.
“Beliau cuba diselamatkan tetapi tidak sempat,” katanya.
Ibrahim, berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dari 1990 hingga 1995, dan pernah memegang jawatan sebagai setiausaha politik Perdana Menteri ketika itu.
Sepanjang kerjayanya, Ibrahim juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Umno Bukit Mertajam, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Timbalan Menteri Pengangkutan, dan Duta Malaysia ke Filipina.
Beliau juga memainkan peranan penting dalam membantu orang Melayu di Pulau Pinang untuk maju ketika beliau menjadi Timbalan Ketua Menteri pada awal 90-an.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.