comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bekas pengikut GISBH akan dipanggil untuk siasatan terperinci doktrin kefahaman – Na’im


Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid & Siti Khadijah Jaafar

PUTRAJAYA: Jawatankuasa khas akan memanggil bekas pengikut Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) untuk siasatan dan kajian terperinci terhadap doktrin fahaman kumpulan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata bekas pengikut terbabit akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Jawatankuasa yang dibentuk di bawah saya ini, akan selesaikan dan muktamadkan kajian berkaitan dengan GISBH.

“Nanti kita akan panggil bekas ahli GISB untuk kita dapatkan maklumat yang sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Datuk Mohd Na’im sebelum ini dilaporkan berkata, isu berkaitan GISBH akan dibawa ke Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Beliau berkata, perkara itu akan dibawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memutuskan persoalan berkaitan akidah.

Sehubungan itu, Datuk Mohd Na’im berkata, status GISBH sama ada difatwakan sesat atau sebaliknya, akan dibincangkan di peringkat MKI.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini