KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengawal keselamatan menerima ganti rugi RM1.8 juta selepas mengalami kecederaan otak kekal akibat kecuaian perubatan di Hospital Taiping, susulan kemalangan motosikal lapan tahun lalu.
P Thinnagaran, 28, memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Taiping dengan menamakan kerajaan, Pengarah Hospital Taiping, serta tiga doktor, Dr Mohamad Hazwan Zulkifli, Dr Mohan Raj Sundram, dan Dr Norsaliza Ikma Mohd Yusof sebagai defendan.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin dalam penghakimannya berkata, plaintif berjaya membuktikan kes terhadap defendan berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Kecederaan Thinnagaran bermula apabila motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Transkrian, jam 1.05 tengah hari pada 2 Januari 2016. Dia kemudian dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan kecemasan.
Semasa rawatan, langkah diambil bagi mencegah Fat Embolism Syndrome (FES), suatu keadaan yang mengancam nyawa apabila zarah lemak daripada tulang patah masuk ke saluran darah, menyebabkan kesukaran bernafas, kekeliruan, dan bintik merah pada kulit.
Namun, pemantauan ke atas Thinnagaran didakwa tidak dilakukan dari jam 2 hingga 6.50 pagi (3 Januari), sebelum beliau disahkan mengalami FES pada jam 7 pagi.
Doktor mengambil keputusan untuk menstabilkan keadaan Thinnagaran sebelum meneruskan pembedahan pada jam 8 malam pada hari sama.
“Otak plaintif mengalami kekurangan oksigen selama lebih 12 jam sementara defendan menunggu untuk menstabilkannya,” kata Noor Ruwena dalam penghakimannya.
Kekurangan oksigen itu mengakibatkan kecederaan kekal pada otak plaintif, menyebabkan beliau kini berada dalam keadaan separa paraplegia.
Hakim juga menyatakan kegagalan memantau keadaan plaintif serta kelewatan menjalankan pembedahan dalam tempoh 24 jam pertama kemalangan memburukkan keadaan, yang akhirnya menyebabkan kecacatan kekal.
“Daripada bukti di hadapan saya, jelas jururawat tidak memantau plaintif secukupnya, malah gagal mengenal pasti FES walaupun gejalanya jelas kelihatan,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa ketiga-tiga doktor gagal memberikan rawatan dan diagnosis tepat terhadap FES, termasuk dalam prosedur intubasi yang kritikal untuk menyelamatkan nyawa Thinnagaran.
Thinnagaran kini mengalami kecacatan kognitif dan trauma mental yang memaksanya bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk keperluan asas.
Plaintif diwakili peguam PA Sharon, R Krishnaveni, dan Gowri Subbaiyah, manakala Peguam Kanan Persekutuan Norazlinawati Mohd Arshad mewakili defendan.
Pada 2 Ogos lalu, defendan telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan tersebut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.