Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bekas mufti Pulau Pinang diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan


PUTRAJAYA: Bekas Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad, diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun ini.

Pengumuman itu dibuat Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M, di sini.

Selain itu, Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Prof Dr Ali Muhyiddin Ali-Qaradaghi diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan anugerah, termasuk wang tunai, trofi dan sijil penghargaan kepada kedua-dua tokoh berkenaan.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Pemilihan kedua-dua tokoh itu berdasarkan sumbangan besar mereka dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan serta diterima masyarakat dari dalam dan luar negara.

Kedua-dua tokoh itu juga memiliki pengetahuan dan pengalaman yang luas serta mempunyai sifat dan peribadi yang unggul untuk dicontohi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini