LANGKAWI: Bekas Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, 61, meninggal dunia awal pagi tadi.
Difahamkan Allahyarham yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi meninggal dunia kira-kira jam 3 pagi di Frankfurt, Jerman.
Perkara itu disahkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Nor Saidi Nanyan, ketika dihubungi di sini, pagi ini.
“Saya difahamkan Allahyarham ke Frankfurt bagi urusan kerja atas kapasiti beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Pemergian beliau ke sana turut ditemani isterinya, Datin Sabariah Hassan dan saya difahamkan jenazah akan dikebumikan di Frankfurt,” katanya.
Allahyarham memiliki pengalaman luas dalam bidang politik dan pernah berkhidmat selama sepenggal sebagai Ahli Parlimen Langkawi mulai 2013 hingga 2018.
Beliau turut berkhidmat selama dua penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah antara 2004 hingga 2013.
Bagaimanapun pada saingan merebut kerusi Parlimen Langkawi pada Parlimen Pilihan Raya Umum Ke-14, beliau tewas kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. – BERITA HARIAN