Tumpuan :
Nasional

Bekas komando maut motosikal dirempuh kereta

Motosikal ditunggangi Rahimi bersama anaknya dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta Honda Civic di Jalan Tok Kayaman-Jejawi, Beseri menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian. – FOTO: Ihsan PDRM Perlis

PADANG BESAR: Seorang bekas komando tentera maut, manakala anaknya parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Jalan Dato Kayaman, Beseri, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, Rahimi Mat Rejab, 49, sedang menunggang motosikal jenis Honda Wave sambil dibonceng anaknya, Umar Haziq, 16, dan dipercayai dalam perjalanan ke sebuah masjid di kawasan Padang Lati, Beseri untuk berbuka puasa dan bersolat Maghrib.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superitendan Sarih Salleh, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa sedang melalui Jalan Tok Kayaman-Jejawi menuju ke Beseri.

“Ketika di lokasi, datang sebuah kereta Honda Civic dipandu lelaki berusia 33 tahun merempuh motosikal mangsa dari arah belakang.

“Siasatan juga mendapati, kereta Honda Civic itu dipercayai bergerak dalam kelajuan tinggi sebelum hilang kawalan dan merempuh bahagian belakang motosikal mangsa.

“Akibat rempuhan kuat itu, motosikal mangsa terbabas lalu melanggar tiang lampu jalan, manakala kereta terbabit pula terbabas melanggar tembok longkang di arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sarih berkata, Rahimi meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Umar dan pemandu kereta cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

“Mayat Rahimi dihantar ke Jabatan Forensik HTF untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muzammil Zamree di talian 016-8459442,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini