KLUANG: Seorang warga emas yang juga bekas komando, Ab Manan Keri, 73, dikhuatiri hilang susulan banjir kilat melanda kawasan Majlis Jamuan Teh sempena keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Dataran Tasik Kluang, di sini petang tadi.
Anak mangsa, Mohamad Shahsulliah Ab Manan, 29, berkata ketika hilang bapanya yang memakai kemeja veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghadiri majlis berkenaan.
Ab Manan ke majlis berkenaan bersama ahli keluarga lain dengan menaiki Perodua Axia.
“Kami belum buat laporan polis dan usaha mencari ayah di sekitar kawasan majlis dilakukan rakan, ahli keluarga dan pihak berkuasa,” katanya
.Shahsulliah berkata, dia menerima panggilan daripada kakaknya pada waktu Maghrib tadi memaklumkan bapa mereka tidak pulang ke kereta selepas berjalan seorang diri.
“Ayah memang suka berjalan sendiri, namun dia tidak pernah hilang. Waktu kejadian tadi, adik dan kakak puas menunggu di kereta, namun ayah tak kunjung tiba.
“Kereta diparkir jauh dari lokasi majlis dan kami memang risau kerana ayah tak jawab panggilan telefon dan masuk ke peti suara,” katanya memaklumkan bapanya itu tidak mengalami sebarang penyakit.