comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekas Ketua Unit AADK Sik, Kedah terlibat salah laku- EAIC

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Unit di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Sik, Kedah berdepan penangguhan pergerakan gaji selama enam bulan kerana cuai dalam mengendalikan keputusan saringan air kencing Orang Yang Disiasat (OYDS).

Hukuman itu disyorkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) AADK setelah selesai menjalankan siasatan terhadap aduan diterima.

Menurut EAIC, berdasarkan aduan, pegawai tersebut dikatakan melindungi individu yang telah disahkan positif dadah dan gagal mengemas kini Buku Rekod Penghantaran Sampel Urin OYDS.

Tambah suruhanjaya terbabit, siasatan sepenuhnya dijalankan ke atas aduan tersebut mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

“Selepas EAIC telah selesai membuat penyiasatan, EAIC mendapati bahawa salah laku berupa kesalahan tatatertib telah dilakukan iaitu Ketua Unit tersebut telah gagal mengendalikan keputusan saringan air kencing OYDS yang telah disahkan positif dadah jenis methamphetamine/amphetamine.

“Ia menyebabkan berlakunya kelengahan selama hampir satu tahun enam bulan untuk menyerahkan keputusan saringan air kencing tersebut kepada pihak majikan OYDS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Ketua Unit tersebut juga gagal untuk memastikan Buku Rekod Penghantaran Sampel Urin OYDS berada dalam keadaan teratur sepanjang beliau bertugas di AADK Sik.

EAIC turut mendapati dua Pembantu Antidadah di AADK Sik yang ditugaskan untuk menghantar dan mengambil sampel air kencing OYDS telah gagal untuk mengemas kini buku rekod dengan teratur.

Susulan itu, EAIC melalui Mesyuarat Suruhanjaya Bil. 8/2024 bertarikh 10 September lalu mengesyorkan Ketua Unit tersebut ditangguhkan pergerakan gaji selama 6 bulan kerana cuai dan tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan satu tindakan yang adil tidak dapat diambil terhadap OYDS oleh majikan.

Amaran juga perlu diberikan masing-masing terhadap Ketua Unit dan dua Pembantu Antidadah kerana gagal untuk memastikan Buku Rekod Penghantaran sampel urin OYDS AADK Sik berada dalam keadaan teratur serta mengemas kini buku tersebut.

“Maka, perkara itu telah dirujuk kepada PBT AADK untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini