KUALA LUMPUR: Tan Sri Musa Hassan berkongsi tips kepada golongan isteri selepas terpalit kontroversi rakaman video pergaduhan seorang wanita dengan lelaki miripnya yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Bekas Ketua Polis Negara itu berkongsi tips berkenaan menerusi ciapan dimuat naik di Twitter pagi tadi.
“Ciri-ciri isteri derhaka pada suami adalah tidak mensyukuri kebaikan dilakukan suami, suka menyakiti hati suami, melayani lelaki lain tanpa pengetahuan suami, keluar rumah tanpa izin suami dan meminta cerai daripada suami,” katanya.
Semalam, media melaporkan Musa meminta orang ramai supaya menghormati privasi dan tidak mencampuri urusan keluarganya.
Beliau berkata demikian dalam satu ciapan di Twitter menjawab pertanyaan netizen susulan penularan video memaparkan individu dipercaya bekas pegawai kanan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, semalam.
“Ini adalah masalah privasi keluarga. Jangan ada yang masuk campur. Jika ada yang membuat spekulasi akan berhadapan dengan tindakan undang-undang,” katanya dalam ciapan itu.
Terdahulu, tiga rakaman video berdurasi sembilan saat, 56 saat dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak-kanak dalam rakaman itu.