Tumpuan :
Nasional

Bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Firdaus Abdullah meninggal dunia hari ini

PETALING JAYA: Bekas Ketua Pengarah Dewan dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Firdaus Abdullah, 79, meninggal dunia hari ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu muatnaik Facebook rasmi DBP awal tengahari tadi.

“Warga Dewan Bahasa dan Pustaka merakamkan ucapan takziah kepada keluarga YBhg. Datuk Dr. Firdaus bin Abdullah (Mantan Ketua Pengarah DBP) yang telah kembali ke rahmatullah pada 11 April 2024 bersamaan 2 Syawal 1445.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Amin,” jelas kenyataan itu.

Allahyarham yang juga terkenal sebagai seorang penyajak dan penulis, mula dikenali dengan beberapa karya agungnya, antaranya kumpulan puisi Prisma Mimpi (1985), kumpulan puisi kanak-kanak Puisi Amira dan Falahi (1986).

Allahyarham juga banyak mengeluarkan antologi puisi dan terbitan berkala.

Sepanjang kariernya, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai wartawan di Berita Harian dan News Straits Times serta menjadi Pengerusi Eksekutif Utusan Karya Sdn Bhd.

Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Senator sebanyak dua penggal sejak tahun 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini