![](https://media.buletintv3.my/2023/02/CMS-PPZ-2023-02-20T113736.040.jpg)
SHAH ALAM: Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Ya’akop, bekas Ketua Pemuda UMNO Shah Alam mengumumkan hasratnya bertanding kerusi Ketua UMNO Bahagian pada pemilihan kali ini.
Dalam perkongsian menerusi Facebook, Ahmad Mua’adzam Shah yakin dan percaya dengan idea, semangat juang serta pengalaman yang ada, membolehkan beliau menggemblengkan segala usaha dan gerak kerja yang sepadu.
“Alhamdulillah dengan rasa rendah diri dan penuh tawaduk, saya Ahmad Mua’adzam Shah Ya’akop menawarkan diri untuk memikul amanah bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam.
“Saya yakin dan percaya dengan idea, semangat juang yang kental sepenuh jiwa dan raga serta segala pengalaman yang ada, saya dapat menggemblengkan segala usaha dan gerak kerja yang sepadu.
“Bersama-sama kita memastikan kebangkitan UMNO dan meyakinkan rakyat khususnya di Shah Alam agar kembali bertaut kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN),” tulisnya yang kini menyandang jawatan Ketua UMNO cawangan Taman Kampung Kuantan, Klang.
Beliau percaya hubungan baik bersama akar umbi juga dapat membawa semua jentera untuk terus melipat ganda usaha bagi mencapai kemenangan Pilihan Raya Umum ke -16 (PRU-16) demi agama, bangsa dan tanah air.
“Saya dengan ini bersedia menggalas amanah besar ini, merayu sokongan, dokongan serta undi anda. Terima kasih,” katanya.
Pemilihan kepemimpinan UMNO bahagian Shah Alam dijangka diadakan bulan depan.
Ketika ini, UMNO Shah Alam diketuai oleh Datuk Azhari Shaari, 53.
Pada 14 Februari lalu, Azhari dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas enam pertuduhan, termasuk salah guna harta berjumlah RM440,000 bagi program korban perdana dan sumbangan pakaian sekolah anak yatim serta menggunakan dokumen palsu pada 2010 dan 2017.
Bagaimana pun, beliau mengaku tidak bersalah dan dikenakan ikat jamin RM80,000 bagi semua pertuduhan itu dengan dua penjamin.-BERITA HARIAN