Tumpuan :
Nasional

Bekas kerani akaun dituduh pecah amanah RM70,000

Oleh Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Seorang penyambut tamu hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas lapan pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM70,000.

Tertuduh, Janet PC Gomes, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Khalid Abd Karim.

Mengikut kertas pertuduhan, Janet melakukan kesalahan berkenaan ketika dia bekerja sebagai kerani akaun di sebuah gedung pakaian di Lebuh Pasar, di sini.

Wanita berkenaan yang mempunyai penguasaan ke atas cek milik syarikat gedung pakaian itu dengan curangnya melakukan pecah amanah dengan cara memasukkan cek terbabit ke akaun bank individu tertentu dipercayai bagi kepentingan peribadi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu sejak 2015 hingga Januari 2018 dengan jumlah keseluruhan pecah amanah dilakukan sebanyak RM70,000.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 14 tahun, sebatan dan denda.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan dua penjamin bagi kesemua lapan pertuduhan serta menetapkan syarat iaitu perlu menyerah pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Julai bagi serahan dokumen.

Loading...
Terkini