comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekas banduan akhir khatam Al-Quran 120 kali dalam penjara

Bekas banduan akhir, Wan (bukan nama sebenar) mencium pipi ayahnya ketika dibebaskan selepas tamat menjalani hukuman penjara atas kesalahan mengedar dadah pada tahun 1999. – Foto: NSTP

JERTIH: “Sepanjang 24 tahun menjalani proses hukuman saya berjaya khatam al-Quran sebanyak 120 kali dalam penjara,”

Itu antara pengakuan daripada Wan, 50 (bukan nama sebenar) yang juga seorang bekas banduan akhir.

Wan berkata, dia tidak pernah menaruh harapan akan diberi peluang kedua untuk meneruskan hidup selepas mahkamah menjatuhkan hukuman gantung atas kesalahan mengedar dadah jenis ganja pada tahun 1999.

Katanya, sejak 10 tahun lalu sebagai banduan akhir dia mula mengambil langkah untuk khatam Al-Quran setiap bulan dengan menjadikan rutin mengaji sebagai satu kewajipan setiap kali selesai solat fardu atau selepas Solat Sunat Dhuha.

“Kebanyakan waktu saya dihabiskan dengan mengaji serta membaca buku, selain beriadah pada waktu pagi serta petang termasuk mengikuti kelas keagamaan,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya.

Katanya, keputusan Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman mati dan penjara sepanjang hayat ke atas 11 banduan termasuk dirinya yang disabitkan kesalahan mengedar dadah di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023, semalam diibaratkan seperti diberi nyawa kedua untuk hidup.

Wan yang juga anak kedua daripada empat beradik itu berkata, selepas dibebaskan semalam dia sekeluarga terus bergerak pulang ke kampung halaman di Jertih dan tiba pagi ini.

“Saya sendiri tidak berharap atau bermimpi hukuman gantung akan ditukar kepada penjara 30 tahun kerana selepas dijatuhkan hukuman dahulu hidup saya seperti gelap gelita.

“Saya bersyukur kerana keluarga tetap menerima saya walaupun sudah lama berada dalam penjara dan keluarga kerap melawat walaupun saya bertukar tempat hukuman.

“Jika diikutkan sepanjang tempoh dihukum, saya beberapa kali berpindah penjara antaranya Penjara Marang, Terengganu, Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan, Penjara Tapah Perak, Penjara Bentong, Pahang, Penjara Machang, Kelantan dan kembali semula ke Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan,” katanya.

Dia berkata, harapannya kini adalah untuk terus menghabiskan masa serta berbakti kepada keluarga yang banyak berkorban untuknya selama ini.

“Disebabkan pergaulan serta pengaruh rakan sebaya saya dituduh bersubahat melakukan jenayah berkenaan ketika berumur 26 tahun.

“Saya anggap ini ujian serta dugaan hidup ditetapkan untuk saya dan perlu ditempuhi dengan reda kerana setiap ujian yang berlaku ada hikmah disebaliknya,” katanya.

Wan juga uga berharap generasi muda lebih berhati-hati memilih rakan untuk berkawan selain mendengar nasihat daripada orang tua.

Loading...
Terkini