Tumpuan :
Nasional

Bekas Ahli Parlimen Sekijang, ‘Kak Natrah’ meninggal dunia

JOHOR BAHRU: Natrah Ismail, bekas Ahli Parlimen Sekijang, meninggal dunia akibat kanser di Hospital Segamat, malam tadi.

Allahyarhamah yang berusia 73 tahun adalah Ahli Majlis Pimpinan Wanita PKR Pusat, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9 malam tadi.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor, Mohamad Taufiq Ismail berkata, pemergian Allahyarhamah adalah kehilangan besar bagi parti berikutan jasanya memimpin sayap wanita parti.

“AMK Negeri Johor menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarhamah Natrah Ismail atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Kak Natrah’.

“Ini adalah satu pemergian dan kehilangan besar khususnya bagi keluarga besar PKR.

“Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-fatihah,” katanya dalam akaun Facebook, malam ini.

Beberapa pemimpin PKR termasuk Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat, Juwariya Zulkifli, turut sama mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarhamah.

“Salam takziah diucapkan buat seluruh ahli keluarga dan warga Keadilan Johor di atas pemergian Hajah Natrah Ismail, mantan Ahli Parlimen Sekijang yang juga Ahli Majlis Pimpinan Wanita Keadilan Pusat (MPWP) akibat kanser.

“Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan bersama kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.

Loading...
Terkini