SEREMBAN: Bekas Ahli Parlimen Rembau, Datuk Firdaus Muhammad Rom Harun, 73, meninggal dunia di kediamannya di Taman Paroi Jaya, tengah hari tadi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.50 tengah hari.
Jenazah Firdaus dijangka dibawa ke Masjid At-Taqwa, Paroi pada jam 6.00 petang nanti untuk dimandi dan disembahyangkan sebelum dikebumikan selepas solat Maghrib di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Paroi di Jalan Seremban-Kuala Pilah, di sini.
Allahyarham menjadi Ahli Parlimen Rembau yang pertama dari 2004 sehingga 2008 selepas kawasan Parlimen itu diwujudkan hasil persempadanan semula kawasan pilihan raya, sebelum digantikan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Beliau juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong dari 1995 sehingga 2004, pernah menjawat jawatan Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Mohamad Hasan ketika Menteri Pertahanan itu mengetuai Kerajaan Negeri Sembilan dari 2008 sehingga 2010.