comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekas ahli GISBH sedia dibantu bina hidup baharu – MUIP

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman ketika bertemu dengan keluarga bekas ahli GISBH di Kuantan. – Foto: NSTP

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sedia memberi bantuan kepada bekas ahli GISBH Holdings jika mereka terbukti mematuhi beberapa syarat ditetapkan pihaknya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, namun jika mereka tidak mampu mematuhi syarat ditetapkan maka mereka tidak berpeluang menerima pelbagai bantuan berbentuk kewangan dan kemudahan yang disediakan MUIP.

Katanya, antara syarat yang perlu dipatuhi bekas ahli GISBH ialah bebas daripada dakwaan mahkamah dan terbukti tiada lagi kaitan dengan pertubuhan berkenaan dan wajib mengikuti kelas pemulihan secara berterusan.

“Setakat ini MUIP sudah membantu satu keluarga selepas ketua keluarga berkenaan bebas daripada dakwaan mahkamah berhubung GISBH. Lelaki beristeri dua ini mempunyai 13 anak di bawah jagaannya.

“MUIP prihatin dengan nasib mereka dan jika orang ramai mempunyai maklumat berkaitan perkara ini boleh menghubungi pihak majlis di setiap daerah dan negeri,” katanya selepas mengunjungi bekas ahli GISBH berusia 54 tahun.

Asmadi berkata, MUIP menyediakan bantuan bulanan sebanyak RM900 termasuk RM300 baucer belian barangan keperluan asas di kedai terpilih. Turut disediakan kediaman serta modal perniagaan bagi membolehkan individu berkenaan memulakan perniagaan yang dirancang.

Bagi menjamin masa depan enam anak lelaki itu, beliau berkata, bantuan pendidikan ke sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah pengurusan MUIP turut disediakan dalam masa terdekat dan turut menyediakan peralatan persekolahan termasuk pakaian serta yuran.

Beliau sudah mengadakan perbincangan dengan penjaga dan memutuskan untuk menempatkan anak lelaki terbabit di Sekolah Menengah Agama (SMA) Darul Makmur, Ganchong, Pekan yang juga di bawah pengurusan MUIP.

“Saya berharap bantuan yang disediakan dapat menukar masa depan Sulaiman dan keluarganya yang sebelum ini mengusahakan perniagaan kedai makan di daerah ini. Difahamkan mereka akan menjalankan perniagaan kedai dobi.

“Menjadi tanggungjawab MUIP membela nasib pihak yang berada dalam kesusahan dan kesempitan hidup, pelbagai bentuk bantuan disediakan antaranya seperti kewangan, keperluan harian, peralatan, modal, pendidikan dan khidmat nasihat,” katanya yang berharap lebih ramai lagi bekas pengikut GISBH tampil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini