MELAKA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Wira Ab Karim Sulaiman meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira jam 9.25 malam tadi.
Ab Karim, 75 yang juga bekas EXCO Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga di kediamannya di Kampung Pulau, Masjid Tanah di sini.
Bekas ADUN Taboh Naning, Datuk Wira Latipah Omar ketika dihubungi berkata, jenazah Allahyarham akan diuruskan dikediamannya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau selepas Zohor hari ini.
“Allahyarham yang saya kenali adalah seorang yang baik dan sangat komited kepada tugas dalam menjaga kebajikan masyarakat sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat.
“Saya rasa kehilangan seorang sahabat yang baik dan bertanggungjawab, semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya,” katanya.
Allahyarham meninggalkan balu, Datin Wira Fatimah Md Nor serta empat cahaya mata.
Allahyarham dipilih sebagai wakil rakyat kali pertama di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang pada Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU10) sebelum berpindah ke kerusi DUN Tanjung Bidara pada penggal berikutnya.
Beliau pernah dilantik sebagai EXCO Penerangan, Belia dan Sukan negeri serta EXCO Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta beberapa pemimpin negeri turut meluangkan masa menziarahi jenazah Allahyarham malam tadi.