comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekalan telur untuk Ramadan di Perak mencukupi – Pengarah FAMA Negeri

FOTO: Gambar hiasan

TAPAH: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak menyediakan bekalan 290,000 biji telur tambahan sejak Disember lepas bagi keperluan negeri itu, terutama bagi menampung permintaan sepanjang Ramadan.

Pengarah FAMA Negeri, Noorsham Ramly berkata, pihaknya memperoleh bekalan telur daripada pelbagai negeri, antaranya Melaka.

“Menjelang Ramadan, bekalan telur bagi negeri ini mencukupi dan jika ada yang memerlukan, kita akan berusaha memenuhi keperluan pengguna.

 

“Purata bekalan telur sekitar 72,000 biji sebulan dan dijangkakan permintaan akan meningkat dua kali ganda bagi keperluan pada bulan Ramadan dan Syawal,” katanya selepas menghadiri program Jualan Ramadan Madani di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Antara 12 lokasi pasar tani yang terlibat bagi program tersebut termasuk Agrobazaar Semanggol, Trong; Taman Jana, Mat Frozen; serta Pasar Tani Kekal di Lekir, Tanjung Malim, Gerik, Tapah, Seri Iskandar, Kuala Kangsar, Kampung Simee dan Medan Gopeng.

Sementara itu, Noorsham berkata FAMA Perak menyasarkan nilai jualan RM1 juta menerusi program itu, yang akan memberi peluang kepada pengguna mendapatkan bekalan keperluan bagi menyambut Ramadan pada harga lebih murah.

“Keistimewaan program ini ialah jualan harga istimewa, yang menyediakan pengurangan harga sekitar lima hingga 10 peratus bagi produk terpilih dan slot ‘happy hour’.

“FAMA turut bekerjasama dengan pihak Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak bagi membantu masyarakat mendapatkan telur, ayam, sayur dan buah-buahan dengan harga penjimatan,” katanya.- BERNAMA

Loading...
Terkini