PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mengenalpasti beberapa sumber dari luar untuk menampung keperluan bekalan dalam negara dengan kadar segera.
Ia bagi memastikan keterjaminan telur ayam di pasaran selain memastikan telur ayam yang diterima selamat daripada penyakit dan menepati piawaian yang ditetapkan.
Menterinya, Mohamad Sabu berkata pelan jangka pendek ini diharap boleh menampung keperluan bekalan telur ayam yang digunakan rakyat negara ini dengan kadar purata sebanyak 968 juta biji sebulan.
“Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukan untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan bekalan telur ayam dalam negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga.
“Keperluan membawa masuk telur ayam dari sumber luar juga akan dikaji semula setelah bekalan telur ayam kembali stabil.
“Saya juga telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian untuk melihat impak mengimport telur ayam dari sumber luar kepada industri telur ayam tempatan sedia ada dan Agrobank untuk mengemukakan cadangan bagi membantu pembekal dan pengusaha kecil supaya mereka kekal berdaya saing dalam industri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga yakin isu kekurangan bekalan telur ayam dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan kerjasama pelbagai pihak.