![](https://media.buletintv3.my/2023/04/CMS-REDO.jpg)
BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan tiada krisis minyak masak paket bersubsidi dan bekalannya mencukupi sehingga Aidilfitri.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata pihaknya amat peka dengan keperluan rakyat, terutama membabitkan minyak masak paket bersubsidi.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat aduan berhubung kekurangan minyak masak paket di beberapa tempat dan pada masa tertentu.
“Tetapi secara umumnya, saya boleh beri jaminan pada hari ini tiada isu krisis (bekalan minyak masak paket) yang bekalannya mencukupi dengan 60,000 metrik tan dibekalkan setiap bulan.
“Berhubung aduan (kekurangan bekalan) saya dapati ia berlaku di beberapa tempat dan pada masa tertentu.
“Kalau aduan itu kita terima dalam masa cepat iaitu dalam masa satu minit, pegawai akan bertindak dan pastikan bekalan itu diperiksa dan kalau mereka ada masalah bekalan, pegawai dengan cepat akan dapatkan bekalan di tempat lain,” katanya ketika diminta mengulas rungutan pengguna yang dilaporkan masih sukar mendapatkan minyak masak paket bersubsidi.
Terdahulu, beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Program Bakul Rahmah bersama Petronas Dagangan Berhad di Seberang Jaya, di sini, hari ini.
Salahuddin berkata, isu kekurangan bekalan minyak masak paket hanya berlaku seketika atas beberapa faktor.
“Antaranya, disebabkan peniaga tiada ECOSS (Skim Penstabilan Harga Minyak Masak) dan keduanya mungkin ada isu kredit di antara peruncit dan pemborong.
“Ini kes terpencil, tetapi kalau berlaku serta-merta boleh adukan kepada kita dan kita akan bertindak cepat untuk memulihkan bekalan,” katanya.
Sementara itu, Salahuddin berkata, bekalan lain antaranya ayam, telur ayam dan sayur-sayuran juga mencukupi.
“Berdasarkan fakta yang kita kongsikan bersama khususnya Jabatan Pertanian, bekalan ayam, telur ayam dan sayur-sayuran didapati mencukupi dan kita akan pastikan kesemuanya akan sentiasa berada di pasaran,” katanya.