Tumpuan :
Nasional

Bekalan kelapa sukar diperolehi punca harga santan dijangka naik

Antara peniaga santan ketika tinjauan di Pasar Besar Seremban. – Foto NSTP

SEREMBAN: Harga santan di negeri ini dijangka meningkat menjelang Ramadan berikutan harga kelapa di pasaran mencecah RM3.50 sebiji.

Tinjauan wartawan di Pasar Besar Seremban hari ini mendapati, harga santan RM12 manakala pati santan pula antara RM13 hingga RM18 sekilogram (kg).

Terdapat segelintir peniaga memutuskan tidak menjual pati santan kerana rugi.

Peniaga U Mishen, 27, berkata, dia terpaksa menjual pati santan dengan harga lebih murah iaitu RM13 bagi memastikan pelanggan tidak lari, namun ia tidak dapat menampung modal.

“Memang tidak dapat untung. Jika dulu saya jual RM10, namun sejak bulan lalu saya naikkan kepada RM13, tetapi masih ramai pelanggan yang merungut harganya mahal.

“Kalau santan biasa saya jual RM8 sekilogram dan sekarang rata-ratanya jual RM12. Saya jangka harga ini akan naik lagi,” katanya.

Mishen berkata, peningkatan harga berlaku disebabkan ketika ini musim melawas atau kelapa tidak menjadi ekoran faktor cuaca yang tidak menentu.

“Saya ambil kelapa daripada pembekal di Malaysia, namun apabila bekalan tidak cukup terpaksa ambil dari Indonesia. Apabila musim melawas harga agak mahal dan buah pula lebih kecil berbanding biasa,” katanya.

Seorang peniaga berkata, ketika ini pati santan dijual hingga RM18 sekilogram berbanding RM12 sebelum ini kerana untuk hasilkan sekilogram pati memerlukan lima biji kelapa yang berharga RM3.50 sebiji.

Ng Bee Chooi, 69, pula berkata, bekalan kelapa tempatan sukar diperoleh ketika ini dan terpaksa diimport dari Indonesia.

“Jadi berniaga sekarang tak berapa nak untung, tidak pasti berapa lama, sampai bila isu bekalan kelapa ini akan selesai,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini