Tumpuan :
Nasional

Bekalan kelapa cukup bagi musim perayaan – Mat Sabu

Foto hiasan

Oleh: Kumaran Rajamoney

KUALA KANGSAR: Kerajaan memberi jaminan bekalan kelapa mencukupi bagi menampung permintaan menjelang musim perayaan yang berturutan awal tahun hadapan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menjelaskan agensi dibawah kementerian, termasuk FAMA Corp Sdn Bhd akan mendapatkan bekalan dari negara luar, termasuk Indonesia.

“Kita dengan FAMA Corp dan sebagainya supaya dapat dibawa kelapa daripada luar khasnya Indonesia bahawa lebih-lebih banyak.

“Sementara jangka panjangnya kita juga menggalakkan penanaman kelapa dan sudah banyak pengusaha-pengusaha baru sekarang menyedari bahawa penanaman kelapa ini satu perkara yang menguntungkan.

“Memang kita tahu di Malaysia ini orang-orang yang berada nak melaburkan dalam pertanian ni agak masih rendah kalau dibandingkan dengan negara-negara lain. Tapi kita terus memberi galakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja ke Taman Agro Duriotourism di Mardi Kuala Kangsar di sini hari ini.

Jelasnya, harga produk kelapa terutamanya santan sedang mengalami peningkatan harga.

Justeru, penanaman kelapa katanya mempunyai nilai lebih tinggi bagi memenuhi keperluan tempatan.

Kementerian juga katanya, menggalakkan pelaburan berikutan minat masyarakat Malaysia dalam pertanian masih rendah.

“Kita sudah mencapai Tahap sara diri (SSL) bagi industri akuakultur terutamanya ikan. Malah ikan dari spesis Talapia misalnya boleh dipasarkan ke negara luar seperti China dan Jepun.

”Ertinya ruang-ruang dalam pertanian ni perlu dipertingkatkan dengan lebih hebat dan Malaysia boleh menjadi negara pengeluar yang hebat pada masa akan datang,” tambahnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini