BAGAN DATUK: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bekalan ikan sepanjang Ramadan dan Aidilfiri pada tahun ini mencukupi dan pada harga terkawal.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata berlaku lambakan ikan ketika ini berikutan musim monsun yang sudah berakhir membolehkan para nelayan turun ke laut dengan selamat.
Menurutnya, pihaknya turut bersedia dengan bekalan ikan segar beku sebanyak 1,590 metrik tan.
“Kalau kita pergi ke pelabuhan besar contohnya di Kuantan, Pahang sampai berlaku lambakan, jadi rezeki nelayan tengah murah sekarang ni. Oleh sebab itu, InsyaAllah bekalan ikan untuk Ramadan dan Aidilfitri memang terjamin,” kata Muhammad Faiz.
Menurut Muhammad Faiz, 90 metrik tan bekalan ikan segar beku itu adalah milik LKIM manakala baki 1,500 metrik tan lagi milik swasta.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Program MADANI Anak Nelayan Kembali ke Sekolah di Dewan Dato’ Mohammad Jamrah, Sungai Sumun, di sini, hari ini.
Pada program berkenaan, beliau menyerahkan sumbangan peralatan sekolah berupa baucer untuk pakaian, kasut dan beg kepada 100 anak nelayan sekitar kawasan Hutan Melintang membabitkan nilai keseluruhan RM15,000.
Ia adalah hasil kerjasama LKIM bersama BHPetrol dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).
Dalam pada itu, Muhammad Faiz turut mengingatkan pihak peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ikan sewenang-wenangnya.
“Sepatutnya apabila bekalan ikan itu banyak, harga ikan murah. Jadi, saya tekankan kepada para peniaga supaya tidak sewenangnya menaikkan harga ikan,” katanya.
Tambah Muhammad Faiz, pada masa sama pihaknya juga berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerap melakukan pemantauan supaya harga ikan terkawal dan stabil.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.