comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekalan gula mentah Malaysia tidak terjejas

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Langkah Thailand untuk mengawal eksport gula mentah tidak akan menjejaskan bekalan komoditi tersebut di negara ini.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini berikutan Malaysia tidak mengimport gula mentah dari negara berkenaan.

“Bekalan gula mentah dua pengilang utama negara iaitu Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) diperolehi daripada sumber selain Thailand setakat ini.

“Jadi dengan apa yang berlaku di Thailand, kekurangan eksport atau kenaikan harga gula mentah tidak akan memberi kesan kepada kita kerana kita tidak ambil gula mentah dari sana,” katanya dalam sidang media selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga barang di sebuah pasar raya, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan Thailand iaitu negara pengeluar gula kedua terbesar dunia yang akan mula mengawal selia harga domestik dan eksport gula dalam usaha mengawal inflasi dan mengekalkan jaminan makanan.

Untuk rekod, Malaysia mengimport 100 peratus bekalan gula mentah dari Brazil, pengeluar terbesar dunia.

Mengulas lanjut, menurut Armizan, kerajaan masih mengawal harga gula putih bertapis kasar dan halus, masing-masing pada kadar RM2.85 dan RM2.95 bagi satu kilogram (kg), meskipun berlaku kenaikan sebanyak 52 peratus harga gula mentah di pasaran global berbanding tahun 2021.

Susulan itu, ujarnya, kedua-dua syarikat pengeluar tempatan berkenaan berhadapan masalah kerana menanggung kerugian sebanyak 88 sen bagi setiap 1kg gula dikeluarkan.

“Sekarang kita sedang jalankan sesi libat urus lebih lanjut dengan kedua-dua syarikat dan kita cuba untuk menangani masalah ini dan juga berunding dengan agensi pusat.

“Jadi kita berharap kita dapat menangani masalah ini kerana kedua-dua syarikat itu adalah jaminan bekalan sugar yang ada di negara kita,” katanya.

Beliau turut mengakui terdapat sedikit gangguan bekalan gula ketika ini ekoran masalah terbabit, namun bekalan masih ada.

Sementara itu, Armizan berkata, tindakan segelintir pasar raya dan peruncit yang mengehadkan pembelian gula adalah peraturan yang dibuat sendiri oleh peniaga berkenaan supaya membolehkan masyarakat setempat mendapat bekalan yang mencukupi.

“Niat kita adalah gula RM2.85 untuk penggunaan domestik isi rumah dan kalau ikut kajian kerajaan, satu isi rumah menggunakan hanya 2.6kg sebulan. Kalau anda beli 2kg gula dalam satu hari, sepatutnya mencukupi untuk sebulan.

“Industri makanan dan minuman yang lain sebenarnya perlu membeli gula yang bukan pada kadar kawalan RM2.85. Itu sebabnya peraturan itu dibuat oleh pasar raya tersebut kerana akhirnya berbalik kepada objektif. Kita kawal gula untuk penggunaan isi rumah dan kalau beli 2kg gula memang melebihi dan mencukupi untuk sebulan,” katanya.

Loading...
Terkini