KOTA BHARU: Sebanyak 102 kawasan di Kelantan dihentikan bekalan elektrik ekoran banjir yang semakin membimbangkan setakat 6 petang tadi.
Ia membabitkan enam daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Machang, Pasir Mas dan Kuala Krai.
Laman Facebook Tenaga Nasional Berhad (TNB) Careline memaklumkan, lokasi yang tidak mendapat bekalan elektrik masing-masing tujuh kawasan di Kota Bharu, Pasir Puteh dan Kuala Krai, 10 kawasan di Tanah Merah, 25 kawasan di Machang dan 46 lokasi di Pasir Mas.
Antara kawasan yang tidak mendapat bekalan elektrik termasuk Taman Jaza, Taman Sri Kulim, Zee Palace Hotel di Kota Bharu.
Di Pasir Puteh termasuk Taman Jelor, Taman Puspajaya dan BELB Sungai Gali, manakala di Tanah Merah pula di Bukit Kecik, Nirwana, Kuala Kepok dan Padang Kijang.
Daerah Machang termasuk Kampung Tandak, Machang Indah dan Limau Hantu, manakala Pasir Mas termasuk Kusar, Danau, Serendah, Gual Pinang, Serongga, Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Sitok, Balai Polis Lubuk Setol, Limau Purut dan SK Kampung Rahmat.
Di Kuala Krai membabitkan Taman Warisan, Sungai Tasang, Loji Air Tualang 3, Loji Air Pahi, Sekolah Menengah Kebangsaan Laloh, Kuaters Guru Pahi dan Bunut Saih.
Terdapat dua pencawang elektrik membabitkan tiga kawasan diberikan bekalan kepada pengguna iaitu di SK Kadok, Wakaf Aik di Bachok dan Tebing Tinggi dekat Tanah Merah.
TNB juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menghidupkan peralatan elektrik sekiranya soket alir berada dalam keadaan basah, dilitupi air atau kekotoran banjir.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.