Tumpuan :
Nasional

Bekalan diesel, petrol di kawasan risiko banjir mencukupi – KPDN

Fuziah (kiri) meninjau tempat penyimpanan petrol di pusat jualan minyak petrol pada Program Community Drumming di Kampung Pasir Raja, Dungun. Foto NSTP

DUNGUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memastikan barangan keperluan asas termasuk diesel dan petrol di kawasan berisiko banjir mencukupi pada musim tengkujuh.

Timbalan Menterinya Dr Fuziah Salleh berkata, keutamaan bekalan itu juga akan ditumpukan di kawasan pedalaman.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah itu, pihaknya memberi kelulusan sementara kepada pemegang lesen runcit barangan kawalan berjadual.

“Mereka ini telah diberi kelulusan menambah had simpanan petrol sehingga 30 peratus daripada had simpanan sedia ada.

“Bekalan petrol dan diesel tambahan ini telah dihantar ke kawasan yang berisiko banjir supaya tidak berlaku gangguan bekalan ketika musim tengkujuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming di Kampung Kuala Jengai, dekat sini, hari ini.

Fuziah berkata, menerusi program itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM225 juta kepada enam negeri iaitu Terengganu, Pahang, Kelantan, Kedah, Sabah dan Sarawak.

“Program ini bertujuan memastikan penduduk di kawasan pedalaman terpilih mempunyai akses kepada barangan keperluan sekali gus dapat mewujudkan kestabilan.

“Setakat ini, sebanyak 1,770 pusat penjualan telah diwujudkan di kawasan pedalaman,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini