![](https://media.buletintv3.my/2024/03/BULETIN-TV3-A-25.jpg)
KUALA LUMPUR: Bekalan darah di hospital seluruh negara dilapor pada tahap membimbangkan berikutan permintaan tinggi, sekali gus mendorong Pusat Darah Negara (PDN) merayu orang ramai tampil menderma bagi mengelakkan krisis kekurangan darah.
Pengarah PDN Dr Mohammad Masrin Md Zahrin berkata, semua jenis kumpulan darah, termasuk yang jarang ditemui seperti RhD negatif, amat diperlukan ketika ini bagi memenuhi keperluan pesakit serta persiapan menghadapi Ramadan dan Aidilfitri.
“Cabaran bagi kami untuk mendapatkan bekalan darah ketika ini berikutan musim sekolah yang panjang dengan ramai orang keluar negara untuk bercuti, termasuk cuti umum disambut warga Lembah Klang sempena perayaan Thaipusam (esok),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohammad Masrin berkata, penggunaan darah yang tinggi disebabkan ada golongan pesakit yang perlu menerima darah secara berkala, termasuk pesakit kanser serta talasemia.
“Pada masa sama, ada kes pesakit kekurangan darah dalam keadaan tidak dijangka ketika kecemasan, seperti kemalangan, ibu bersalin yang mengalami tumpah darah, bayi pramatang dan lain-lain.
“Secara purata, 2,200 beg darah diperlukan setiap hari, dengan simpanan kadar optimum di peringkat PDN serta negeri mencukupi bagi tempoh tujuh hari, manakala di daerah pula 14 hari,” katanya.
Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya hadir sebagai penderma di pusat tabung darah yang membabitkan 98 pusat kutipan, selain pusat statik di beberapa pusat beli-belah di Lembah Klang serta Johor Bahru, Johor.
“PDN mengambil tindakan proaktif dengan pengambilan stok darah di hospital selain melakukan promosi dalam talian serta hebahan menerusi media sosial.
“Kami juga meneruskan usaha memberikan pendidikan untuk meningkatkan kesedaran menderma darah, pada masa sama kami melakukan mobilisasi darah tanpa sempadan dengan bekalan dihantar ke seluruh negara,” katanya.
Terdahulu, PDN menerusi akaun rasmi agensi itu di Facebook meminta orang ramai hadir menderma darah bagi memastikan bekalan darah mencukupi sepanjang cuti sekolah dan Ramadan nanti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.