KUALA TERENGGANU: Bekalan beras tempatan di negeri ini meruncing sejak awal November tahun lalu.
Tinjauan di beberapa pasaraya dan pasar awam di negeri ini mendapati hanya beras import putih menguasai pasaran.
Beberapa peniaga mengesahkan tidak menerima beras putih tempatan daripada pembekal sejak akhir November lalu.
“Pembekal beras yang datang untuk mengambil tempahan juga enggan berjanji tarikh penghantaran beras putih tempatan.
“Bekalan beras putih tempatan meruncing di negeri menyebabkan pengguna terpaksa mengeluarkan kos lebih tinggi untuk membeli beras putih import,” katanya.
Seorang pengusaha kedai runcit yang hanya dikenali Wan Hayati, berkata isu beras putih tempatan belum selesai sambil mendakwa kekurangan bekalan daripada pembekal menjadi punca masalah berkenaan.
“Kami sudah jemu untuk bersuara mengenai isu ketiadaan beras tempatan, bercakap dan memberi cadangan pun tiada penyelesaian,” katanya.
Peniaga di sebuah pasar awam di kenali dengan nama Mohd Zaki, 57, berkata kebanyakan peniaga barangan runcit sudah lama tidak menjual beras putih tempatan selepas ketiadaan bekalan sejak pertengahan 2023.
Katanya, pengguna kini lebih cenderung membeli beras timbang berbanding membeli beras import paket lima atau 10 kilogram (kg) yang lebih mahal bagi menggantikan beras tempatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.