comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekalan beras negara cukup untuk tampung bagi tempoh hingga 5 bulan

Belum ada keperluan mendesak untuk menggunakan stok simpanan beras kerana stok dagangan sedia ada sebanyak 650,000 tan masih mencukupi.- Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai stok bekalan beras sebanyak 900,000 tan iaitu 250,000 tan stok simpanan dan 650,000 tan bagi stok dagangan yang mencukupi bagi menampung keperluan beras negara bagi tempoh empat hingga lima bulan.

Susulan itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya berpandangan masih belum ada keperluan mendesak yang bersifat kecemasan untuk menggunakan stok simpanan beras kerana stok dagangan sedia ada sebanyak 650,000 tan itu masih mencukupi bagi menampung keperluan domestik.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga kini giat melaksanakan inisiatif bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi negara supaya mencapai sasaran Kadar Sara Diri (SSR) beras iaitu sebanyak 80 peratus menjelang 2030.

Katanya, antara inisiatif dilakukan adalah pelaksanaan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang diperluaskan dengan menyasarkan pelaksanaan program di kawasan seluas 150,000 hektar sawah padi dengan purata pengeluaran hasil sebanyak tujuh tan bagi setiap hektar.

 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Muhammad Sabu.

“Program ini dilaksanakan berdasarkan kepada empat model iaitu model SMART SBB Padi Putih, SMART SBB Padi Wangi, SMART SBB Asnaf dan SMART SBB Mini Sekinchan.

“Program tidak menggunakan sebarang peruntukan tambahan daripada kerajaan, malahan syarikat peneraju yang terbabit akan menanggung kos pelaksanaan operasi sehingga RM3,200 perhektar,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Mohamad berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Kebajikan Petani India bagi mencari penyelesaian terbaik dalam isu sekatan eksport.

Katanya, perkara itu sedang diusahakan KPKM untuk berunding bersama Kerajaan India pada masa ini.

“Saya selaku menteri yang bertanggungjawab dalam isu ini akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Kebajikan Petani Negara India dalam masa terdekat.

“Selain itu, BERNAS turut terbabit dalam perundingan bersama negara sumber beras yang lain seperti Vietnam, Thailand dan Kemboja,” katanya

Loading...
Terkini