comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekalan air pulih sepenuhnya tengah malam tadi – Air Selangor

Foto hiasan

SHAH ALAM: Gangguan bekalan air tidak berjadual akibat henti tugas sementara empat Loji Rawatan Air (LRA) sejak Selasa lalu susulan kejadian pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah, telah pulih sepenuhnya pada tengah malam tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, pemulihan bekalan itu mencakupi semua tujuh wilayah yang terjejas membabitkan Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Air Selangor sekali gus merakamkan penghargaan serta berterima kasih kepada pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air berkenaan.

“Pengguna boleh mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa melalui saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor menerusi talian 15300,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook rasmi Air Selangor.

Media sebelum ini melaporkan kejadian pencemaran itu menyebabkan empat LRA terpaksa dihenti tugas sementara membabitkan LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) serta Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3), dengan lebih 1,000 kawasan di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor terjejas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini