SHAH ALAM: Bekalan air yang terjejas di tujuh wilayah Selangor berikutan henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) kelmarin, pulih sepenuhnya hari ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, pemulihan yang berakhir jam 6 pagi itu membabitkan 369 kawasan di Petaling, diikuti Gombak (278), Hulu Selangor (30), Klang & Shah Alam (189), Kuala Langat (tiga) dan Kuala Selangor (168).
“Air Selangor mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Media kelmarin melaporkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan bau seperti diesel di muka sauk LRA Rantau Panjang.
Susulan itu, pengepaman air daripada HORAS 600 dan kolam alternatif Kuala Lumpur – Larut sebanyak 836 JLH diaktifkan selain pintu baraj di muka sauk LRA diturunkan bagi meningkatkan pencairan dan membolehkan aliran pencemaran mengalir melepasinya.
Insiden pencemaran itu mengakibatkan sejumlah 1,335 kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. – BERITA HARIAN