comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekalan air pulih secara berperingkat mulai awal pagi esok – Air Selangor

SHAH ALAM: Pengguna dijangka menerima bekalan air secara berperingkat-peringkat bermula jam 3 pagi esok, selepas kerja penyelenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) siap jam 7 malam ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan di Facebook berkata, peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka akan mencapai sekitar 20 peratus pada jam 3 petang, diikuti dengan 90 peratus pada 3 pagi (Jumaat).

“Waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terbabit dijangka pada jam 12 tengah hari Jumaat,” katanya, hari ini.

Terdahulu Air Selangor berkata, sebanyak tujuh kawasan akan terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual ini iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Selain itu, menurut kenyataan itu lagi, tempoh masa gangguan dan pemulihan di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

“Kita akan menggerakkan lori tangki air ke premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Bantuan bekalan air alternatif menerusi 13 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna.

“Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan di seluruh wilayah Air Selangor.

“Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka di Braemar Estate (wilayah Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (wilayah Sepang), serta Taman Banting Baru (wilayah Kuala Langat),” katanya.

Pada masa sama katanya, sesi taklimat dengan wakil rakyat bagi kawasan yang terjejas dilakukan semalam bagi memastikan kelancaran pembekalan air untuk para pengguna.

“Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini daripada semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/.

“Selain itu saluran alternatif juga tersedia seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini