comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekalan air di Seremban mulai pulih pagi ini

Kerja pembaikan paip pecah bersaiz 1200mm (48 inci) dan 200mm (8 incidental) di hadapan stesen Petronas Jalan Jelebu, Seremban pada Sabtu. – Foto: Ihsan Sains

SEREMBAN: Selepas terputus bekalan air secara mendadak selama kira-kira 48 jam, sebanyak 60,000 akaun pengguna di sekitar daerah ini akhirnya lega apabila bekalan mulai pulih pagi ini.

Bagaimanapun, rata-rata penduduk memohon supaya pihak berwajib lebih proaktif dalam usaha memaklumkan gangguan bekalan air dan bantuan lori tangki di kawasan perumahan.

Pesara, Yap Liew Fatt, 71, berkata, bagi warga emas seperti, dia memang tidak menyemak atau lihat media sosial menyebabkannya memang tidak tahu langsung mengenai gangguan dan bantuan.

“Orang berusia seperti ini saya tidak tengok media sosial. Saya tidak tahu langsung apa yang berlaku dan hanya tahu daripada rakan selepas berborak mengenainya.

“Bagi masalah yang besar seperti ini, pihak berwajib sepatutnya lebih proaktif dalam memaklumkan kepada masyarakat dan tidak tumpu kepada hantaran di media sosial saja,” katanya ketika ditemui.

Gangguan bekalan air bermula 19 Oktober lalu di kebanyakan kawasan di Seremban dipercayai akibat paip bersaiz 1200mm dan 200mm di hadapan stesen Petronas Jalan Jelebu, Seremban pecah.

Bagaimanapun, Yap berkata, dia bernasib baik kerana hanya tinggal berdua dengan isteri dan mempunyai tangki air di rumah.

“Saya hanya perlu jimat air saja. Untuk air minum pula saya terpaksa mencari di beberapa kedai runcit kerana di kawasan ini semua air mineral kehabisan stok kerana semua orang memang tidak melakukan persediaan,” katanya.

Penduduk, S Kesabaraaj, 29, berkata, dia berharap pihak berkenaan lebih bersedia pada masa akan datang jika kes kecemasan seperti ini berulang lagi pada masa akan datang.

“Bayangkan sebanyak 60,000 pemegang akaun yang terjejas serentak tanpa sebarang persediaan. Pada hari kejadian ibu bapa saya ada datang ke rumah, namun terpaksa pulang awal kerana bimbang air tidak cukup.

“Saya memang tidak tahu menahu mengenai gangguan bekalan air ini sehingga diberitahu jiran sebelum menyemak media sosial syarikat air. Harapnya pihak syarikat lebih proaktif,” katanya.

Sementara itu, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) memaklumkan, kerja pembaikan sudah selesai kira-kira jam 2 pagi hari ini dan bekalan akan pulih secara berperingkat.

“Bagi mengurangkan kesan gangguan kepada pelanggan kawasan yang terbabit, SAINS mengambil langkah seperti bantuan penghantaran bekalan air melalui lori tangki ke kawasan gangguan dan meletakkan tangki statik di kawasan gangguan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini