comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekalan air bersih mula disalurkan berperingkat

Foto hiasanKUALA SELANGOR: Mulai malam ini bekalan air bersih dan selamat di kawasan terjejas ekoran pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor, mula disalurkan secara berperingkat.

Menerusi satu kenyataan, pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd.(Air Selangor) berkata, ketika ini status pemulihan mencapai 24.5 peratus dan dijangka pulih sepenuhnya jam 12 tengah malam, Khamis ini.

Keempat-empat LRA iaitu SSP1, SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang juga beroperasi sepenuhnya.

“Air Selangor ingin menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Diharap para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook, malam ini.

Dalam perkembangan berasingan, kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di LRA Sg Langat masih dijalankan dan mengalami sedikit kelewatan.

Air Selangor berkata, kerja tersebut kini dijangka siap jam 9 malam ini.

“Bagaimanapun, kelewatan dalam pelaksanaan kerja-kerja ini tidak akan menjejaskan pemulihan penuh bekalan air kepada para pengguna di kawasan terjejas di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat.

“Bekalan air akan disalurkan secara berperingkat kepada para pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan. Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Bekalan air masih dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari, Khamis ini,” katanya.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini daripada semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau menghubungi talian 15300.

Loading...
Terkini