Tumpuan :
Nasional

Bekalan air bersih: Johor perlu ganti 6,000 km paip uzur

Mohamad Fazli Mohamad Salleh pada projek pemasangan paip baru dari Pontian-Rengit, Batu Pahat, Johor, hari ini.

PONTIAN: Sepanjang 6,000 kilometer (km) paip air uzur perlu ditukar bagi membolehkan rakyat di negeri ini menerima bekalan air bersih yang stabil.

EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, berdasarkan bajet yang ada, buat masa ini kerajaan negeri hanya mampu mengganti kira-kira 250 km paip yang telah uzur.

“Berdasarkan peruntukan yang ada, kita cuma mampu baiki 200 hingga 250 kilometer paip setahun.

“Nak habiskan 6,000 kilometer ini memerlukan masa sehingga 30 tahun. Dalam kita membaiki paip yang lama, yang telah dibaikpulih mungkin sudah perlu dibaiki semula,” katanya ketika berucap merasmikan projek pemasangan paip baru dari Pontian-Rengit, Batu Pahat, dekat sini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Anuar Abdul Ghani.

Katanya, bekalan air bersih penting bagi memastikan kehidupan rakyat berada dalam keadaan selesa serta meningkatkan kegiatan ekonomi setempat.

Justeru, beliau berharap projek pemasangan paip baru sepanjang 8.7 km bernilai RM7.6 juta itu akan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Apabila siap kelak, projek itu akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar Rengit, Batu Pahat yang kerap berdepan isu gangguan bekalan air terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini