Tumpuan :
Nasional

Bekalan air 13,000 pengguna LRA Bukit Remah dijangka pulih dalam 14 hari

Kesan tanah runtuh cerun Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah. – FOTO: Ihsan SPAN.

TANAH MERAH: Masalah air yang dihadapi oleh 13,000 pengguna Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah di sini, dijangka dapat dipulihkan dalam tempoh 14 hari.

Ketua Pegawai Eksekutif, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata, bagi membantu pengguna terjejas, tindakan segera diambil iaitu menggerakkan 15 lori tangki agihan dan menempatkan 26 tangki statik di lokasi strategik.

Katanya, lori tangki agihan adalah daripada lapan rakan operator air di seluruh Semenanjung Malaysia bermula Jumaat lalu sehingga bekalan dapat dipulihkan dalam tempoh 14 hari bermula, hari ini.

“Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) negeri pula menyediakan lori tangki berkapasiti 5,000 liter untuk bekalan air di Hospital Tanah Merah.

“Selain itu, PBSM turut menawarkan bantuan dua loji rawatan air mudah alih berkapasiti 800 liter setiap jam sekiranya sesuai dengan sumber air mentah dan lokasi ditentukan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan bagi melihat usaha memulihkan operasi LRA Bukit Remah yang terpaksa ditutup akibat tanah gelongsor yang menyebabkan runtuhan cerun pada 28 November lalu.

Beliau berkata, berdasarkan laporan dan tinjauan, SPAN mendapati situasi di tapak adalah amat serius kerana runtuhan cerun menyebabkan paip air mentah dan paip air terawat rosak.

“Malah, lebih kritikal kerana ia berpotensi tinggi menyebabkan kerosakan pada bangunan utama disebabkan pergerakan tanah yang terus berlaku.

“AKSB sedang bertungkus lumus membaik pulih paip yang rosak dan bekerja secara 24 jam walaupun keadaan di tapak amat berbahaya. Durasi kerja pembaikian bergantung kepada faktor cuaca dan kestabilan cerun,” katanya.

Menurut beliau, AKSB melalui pelan jangka panjang sedang mengusahakan pembinaan loji rawatan air mudah alih yang berupaya memproses sehingga 3 juta liter air sehari dan pembinaan telaga tiub berkapasiti 2 juta liter air sehari untuk pengguna.

Katanya, turut membantu dalam kajian kestabilan cerun adalah Jabatan Kerja Raya (JKR) yang bertindak sebagai pihak yang bakal melaksanakan kerja pembaikan cerun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini